Khamis, 17 Disember 2009

Muhasabah Diri Sempena Tahun Peristiwa Hijrah Nabi Muhammad S.A.W yang ke 1431

Assalamualaikum.. Di sini saya ingin berkongsi dengan anda semua warga SCHUMT dan semua penonton blog ini berkenaan betapa pentingnya konsep hijrah di dalam hidup kita sebagai orang Islam yang bergelar hamba Allah agar kita dapat menginsafi diri dan agar menjadi seorang hamba Allah yang lebih bertakwa. Saya pastekan di sini artikel yang saya sudah lama simpan di dalam komputer saya yang saya ambil dari website JAKIM.

PENGORBANAN DAN PENGHIJRAHAN SUATU TUNTUTAN ISLAM



PENGERTIAN HIJRAH

Mungkin kita memahami pengertian Hijrah itu semata-mata berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain sebagaimana Rasulullah S.A.W. melalui peristiwa berhijrah dari Mekah ke Madinah. Sebenarnya hijrah membawa pengertian yang luas, iaitu keluar dari medan perjuangan yang sempit ke gelanggang yang lebih luas dan ia adalah pemisah di antara yang hak dengan yang batil. Ia juga merangkumi perpindahan kepada hidup yang lebih baik, lebih maju, lebih mulia dan lebih bermakna serta berada dalam lingkungan rahmat dan keredhan Illahi. Allah s.w.t berfirman di dalam surah Ar. Ra'd ayat 11 yang bermaksud:



"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka."

Apabila umat Islam memiliki inisiatif untuk mengubah keadaan mereka sendiri, maka pertolongan Allah pasti datang. Allah akan mengubah keadaan mereka dari kehinaan dan kerendahan kepada kemuliaan dan ketinggian. Dari keadaan yang kurang maju kepada keadaan yang lebih maju dan berjaya. Ini dibuktikan oleh firman Allah s.w.t dalam surah Muhammad ayat 7 yang bermaksud :

'Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah, nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu'.

Justeru untuk memastikan perubahan diri manusia, kita perlu meneliti pelbagai aspek yang perlu dititikberatkan. Antaranya ialah melalui pembangunan jiwa, pembangunan mental dan juga pembangunan fizikal.



Sedar ataupun tidak, kita sekarang ini akan berada di bulan Muharram bagi tahun baru 1430H. Pelbagai usaha dan cara dilakukan oleh umat Islam dalam menyambut kedatangan tahun baru Hijrah, di antaranya ialah dengan meningkatkan lagi kesedaran dan penghayatan umat Islam terhadap taqwim Hijrah yang sangat tinggi nilainya. Sudah sekian lama, umat Islam lebih terbiasa dengan kalendar Masihi dalam kehidupan seharian. Tanyalah diri kita masing-masing tentang sejauh manakah penggunaan taqwim Hijrah untuk mengatur urusan hidup kita seharian? bagaimanakah mungkin kita dapat menentukan waktu solat, puasa Ramadan, hari raya dan beberapa lagi hari penting dalam Islam tanpa kita merujuk kepada taqwim Hijrah?. Menjadi tanggungjawab kita semua sebagai umat Islam, memartabatkan penggunaan taqwim Hijrah, agar identiti umat Islam lebih terserlah.

Sambutan tahun baru Hijrah juga bertujuan mengajak umat Islam agar menghayati konsep Hijrah yang pernah dilalui oleh Nabi Muhammad SAW. Sekiranya pada bulan Zulhijjah yang baru lalu, kita banyak menyentuh tentang pengorbanan suci yang pernah dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan anak kesayangannya Nabi Ismail A.S serta beberapa pengorbanan yang lain, maka pada bulan Muharram pula, kita perlu memfokuskan peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW dari Mekah al-Mukarramah ke Madinah al-Munawwarah sehingga berjaya mendirikan Negara Islam. Perintah Hijrah ini bukan sahaja dilalui oleh Nabi Muhammad SAW, tetapi turut dilalui oleh beberapa nabi-nabi dan rasul-rasul sebelum ini. Jelas sekali hubungan rapat antara korban dan Hijrah tidak dapat dipisahkan sama sekali. Hanya orang yang sanggup berkorban kerana Allah SWT dan Rasul-Nya sahajalah yang mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat serta diberi pertolongan oleh Allah SWT.

PEMBANGUNAN JIWA

Pembangunan jiwa merupakan suatu proses yang bertujuan untuk melahirkan jiwa yang bertakwa. Ianya merupakan unsur yang perlu difahami dan dititikberatkan oleh semua umat. Ketiadaan jiwa yang bertakwa akan mengakibatkan fungsi akal dan fizikal menjadi lumpuh. Manusia secara umumnya akan menggunakan kecerdasan akal dan juga kekuatan yang ada pada tubuh badannya untuk membina tamadun material. Justeru pembangunan jiwa ini seharusnya diaplikasikan dengan sebaik mungkin untuk memastikan tamadun material yang akan terbina kelak tidak akan sia-sia.

Namun untuk memastikan cita-cita tersebut tercapai, jiwa insan perlulah diisi dengan perasaan cintakan Allah dan Rasul serta cinta kepada kehidupan akhirat. Ini seterusnya akan dapat menyedarkan manusia tentang matlamat hidupnya di atas muka bumi ini. Dan di sini seluruh manusia perlu memikul dua tanggungjawab utama iaitu selaku hamba Allah dan selaku khalifah Allah.

Sebagai hamba Allah, manusia dikehendaki mengabdikan diri kepada Allah semata-mata. Ini bersesuaian dengan firman Allah s.w.t di dalam surah Az-Zariat ayat 56 yang bermaksud :

'Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku'.

Mengabdikan diri kepada Allah termasuklah melaksanakan seluruh perintah dan menjauhi segala larangan-Nya dan juga mengekalkan rasa kehambaan. Sebagai khalifah Allah pula, manusia telah dipertanggungjawabkan untuk memakmurkan muka bumi Allah ini berpandukan segala hukum-hakam dan Syariat Allah dalam segenap aspek kehidupan seperti bidang ekonomi, perubatan, pertanian, sains, teknologi, pendidikan dan sebagainya.

PEMBANGUNAN MENTAL/PEMIKIRAN

Pembangunan insan juga mestilah menitikberatkan pembangunan mental (akal). Akal manusia mestilah diisi dengan pelbagai jenis ilmu yang dianjurkan oleh Islam untuk mempelajarinya. Antara ilmu yang perlu dititikberatkan ialah ilmu berkenaan dengan Fardhu Ain seperti ilmu Tauhid, Feqah dan juga Tasawwuf serta ilmu-ilmu pengetahuan yang lain seperti ilmu Sains dan Geografi. Melalui ilmu tersebut, para pelajar tidak akan sahaja mengenali hakikat sesuatu kejadian berdasarkan kepada sifat tabiinya sahaja, bahkan mereka akan cuba berfikir bahawa di sebalik segala kejadian tersebut, ada Penciptanya iaitu Allah s.w.t. Kesan sampingan yang akan timbul ialah mereka akan berasa takjub atas kekuasaan Allah ini dan seterusnya akan mendorong jiwa mereka untuk tunduk patuh kepada perintah-Nya.

Selain daripada pengisian ilmu yang bermanfaat, akal juga haruslah dibangunkan dan dibentuk melalui perbincangan, penyelidikan dan juga pembacaan. Bermusyawarah dan berbincang juga secara tidak langsung akan dapat menghasilkan kefahaman yang lebih mendalam kepada akal kita. Di samping itu, Islam juga menganjurkan kita supaya menjaga adab-adab bermusyawarah supaya manfaatnya akan terhasil semaksima mungkin. Firman Allah s.w.t dalam surah an-Nahl ayat 125 bermaksud :

'Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah pertunjuk'.

PEMBANGUNAN FIZIKAL/ TUBUH BADAN

Sekiranya jiwa dan akal sahaja dibangunkan, tetapi fizikal lemah, maka tamadun Islam dan peribadi muslim juga akan terhalang pembinaannya. Kalau diamati, apakah faedah yang dapat diperolehi daripada seorang manusia yang lemah tubuh badannya, tidak bermaya dan lesu?, Setiap masa ditimpa dengan pelbagai jenis penyakit. Kita tidak menafikan bahawa sakit itu merupakan ujian dari Allah s.w.t. Namun demikian, seseorang manusia itu tidak boleh menempah maut dengan membiarkan dirinya diselubungi dengan pelbagai jenis penyakit yang mungkin boleh membawa maut.

Oleh itu, kita perlu memiliki fizikal yang sihat untuk membina tamadun Islam selaras dengan kehendak Allah s.w.t yang mahukan hamba-Nya menjadi khalifah di muka bumi ini. Tubuh yang sihat akan melahirkan akal yang sihat, seterusnya dapat merancang pelbagai perkara untuk manfaat umat Islam sejagat.

Untuk meningkatkan taraf kesihatan diri, kandungan makanan yang diambil perlulah seimbang iaitu memenuhi segala keperluan seperti protein, karbohidrat, garam galian, vitamin dan sebagainya. Makanan yang akan diambil juga mestilah berpunca daripada sumber yang halal dan cara penyediaannya juga mestilah mengikut kehendak syarak. Ini amat bersesuaian dengan maksud firman Allah s.w.t di dalam surah al-Baqarah ayat 172 :

'Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepada-Nya'

Setelah memenuhi kesemua aspek yang telah diterangkan tadi, maka kita akan dapat merasakan berlakunya suatu perubahan yang amat ketara di dalam jiwa dan minda kita. Dan di sini sudah tentunya proses pembinaan insan sudah mula tercapai dengan sebaik yang mungkin.

Hijrah menuntut kepada pengorbanan yang besar, demi melaksanakan segala perintah Allah SWT kerana makna Hijrah itu sendiri ialah suatu pengorbanan untuk membawa perubahan. Tiada perubahan ke arah yang lebih baik dan cemerlang yang tidak memerlukan pengorbanan. Perubahan adalah tuntutan hidup daripada sesuatu yang buruk kepada yang baik, dan daripada yang baik kepada yang lebih baik, daripada sifat Mazmumah kepada sifat Mahmudah. Oleh itu, mengingati peristiwa hijrah Rasulullah SAW bukan sekadar menyebut dan mengingati peristiwa bersejarah itu sahaja, tetapi yang lebih penting ialah menghidupkan "Budaya Hijrah" dalam kehidupan kita seharian, sebagaimana yang disarankan melalui sebuah hadis Nabi Muhammad SAW:

(Hadis riwayat al-Bukhari, Abu Daud dan Nasa'i)

Yang bermaksud: "Seorang Muslim itu ialah orang yang menyelamatkan saudara Muslim yang lain daripada (kejahatan) lidah dan tangannya. Dan seorang yang berhijrah ialah sesiapa yang berhijrah daripada perkara yang ditegah oleh Allah."


Antara pengajaran penting yang dapat kita ambil daripada Hijrah Rasulullah SAW ialah:

1. Hijrah adalah persaudaraan. Semangat ukhuwwah Islamiah yang ditanam dalam diri umat Islam daripada peristiwa Hijrah tersebut sehingga perpecahan dan perbalahan sesama sendiri antara penduduk asal Madinah (Aus) dan (Khazraj) dapat diselesaikan.
2. Hijrah itu ialah kejayaan. Hijrah itu membentuk suatu pegangan yang kuat, segala masalah dapat diselesaikan berpaksikan akidah Islamiah.

Jika Rasulullah SAW berjaya membuang semangat ‘asabiah dan menangani masalah perpecahan sesama sendiri dengan menjadikan Islam sebagai asas perpaduan, maka umat Islam hari ini pun wajib kembali kepada ajaran Islam yang sebenar agar kesatuan kita semakin rapat dan kuat sehingga musuh tidak lagi berani memperkotakkatikkan kita sesuka hati mereka.

Hijrah berjaya menukarkan insan yang tertindas kepada yang bebas, insan yang dihina kepada yang mulia, insan yang lemah bertukar menjadi kuat. Daripada kekufuran kepada terangnya iman, daripada kezaliman nafsu kepada keadilan wahyu. Oleh itu marilah kita berhijrah dengan menyuburkan semula pengetahuan Agama dan memperkasakan iman serta membasmi kejahilan dan memerangi kesesatan. Firman Allah dalam surah al-Anfal ayat 74:

Yang bermaksud: "Dan mereka yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dan mereka yang memberi tempat kediaman dan pertolongan maka merekalah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperoleh keampunan dan kurniaan yang mulia".


KESIMPULAN

Sesungguhnya keyakinan, kecekalan, kesungguhan, ilmu, kematangan, pengorbanan dan kesatuan umat Islam adalah lahir dari semangat hijrah. Sememangnya peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.a adalah merupakan sumber bekalan dan kekuatan umat yang kini kian dilupakan.


Saya ucapkan selamat menyambut tahun baru hijrah dengan azam dan semangat yang baru.. Sama - samalah kita berhijrah dari negatif ke positif, dalam segala perkara. Selamat menyambut tahun 1431 Hijrah. Sama - samalah kita berselawat ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W.

Sekian, terima kasih..

Dipost oleh : Zahir

Tiada ulasan:

Catat Ulasan